Jujurnya saya tidaklah begitu berminat dengan Datuk Seri Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka. Pada saya, beliau bukanlah seorang pemimpin yang intelek dan politiknya pun cara lama.(mungkin sesuai untuk ahli UMNO totok) Tetapi, itu bukanlah alasan untuk saya tidak menyokong apajua inisiatif atau cadangan beliau. Sesekali idea dari beliau pada saya 'though provoking' dan layak di bawa ke meja diskusi . Kali pertama saya bersetuju dengan idea beliau adalah sewaktu Kerajaan Melaka mahu menganugerahkan gelaran 'Datuk' kepada bintang filem dari India, Shah Rukh Khan' atas beberapa alasan yang tak sempat dibincangkan di sini.
Terbaru, saya tidak dapat menolak cadangan menubuhkan sekolah hamil itu, walaupun mungkin bukan mekanisme terbaik, sekurang-kurangnya adalah solusi yang baik kepada penyakit "buang bayi" yang nampaknya semakin ruat.
Ada pihak yang menyelar cadangan ini.
Kata mereka masalah ini menggalakkan lagi orang berzina?Saya tak setuju. kalau begitu, kita juga harus tutup pusat serenti kerana tempat itu menggalakkan orang menagih dadah. Juga tidak perlu lagi bina jalanraya kerana lagi banyak jalanraya, lagi tinggi risiko kemalangan maut.
Ada yang kata dari buat sekolah hamil, lebih baik bina sekolah agama. Ini masalah mereka yang suka berhujah hentam kromo. Dalam apa jua pendekatan penyelesaian masalah, ada yang dipanggil "pencegahan" dan ada yang dipanggil "rawatan". Sekolah hamil ini adalah soal "rawatan" kepada ibu-ibu yang hamil anak di luar perkahwinan yang sah. Mereka akan diberi kaunseling, pendidikan kerohanian serta bayi-bayi yang lahir itu dapat hak penjagaan yang sempurna. Soal pencegahan kepada mereka yang 'belum' lagi berdepan situasi ini, kita boleh mantapkan pendidikan agama Islam dan Moral, tidak kira di sekolah apa pun, bukan sekolah agama sahaja.
Saya juga meneliti kenyataan beberapa tokoh politk terutamanya dari PAS dan akhirnya saya gagal menemui sebarang solusi yang bernas dari mereka, melainkan menyeru supaya kembali kepada Islam. Apakah membina sekolah hamil ini 'haram' dalam Islam?
Sekolah Hamil telah dibuka semalam tanpa 'murid'.Beri masa untuk sekolah ini beroperasi dan sama-sama kita lihat kesannya. Kepada yang tidak bersetuju atau menentang, apakah solusi anda?
SHUN